Wednesday, August 26, 2009

CATATAN BUAT YANG DIAM -

Dentuman di langit
menerjunkan hujan-hujan api
membakar bumi Lubnan
merebah kubah-kubah batu
darah merah, daging bersepai
melekat di dada jalan
Taibe, Adaissen, Kyfer Killa
hamis menerobos memuntahkan
segala benci dan cuak
anak pribumi.

Seorang Zainab terduduk di katil
dengan sebelah tangan terikat di dada
melemparkan pandangan polos
pada dinding-dinding hospital Najem Tyre.

Dan kisah Usra bersama dua anak
adalah sebahagian kecil trauma
bakal melukis catatan ngeri
sepanjang hayat.

Pada yang diam
dan masih menyembunyikan tangan
jenis apakah kalian!

( Berita Minggu - 13/8/06 )

INDAH HAIRANI
Bukit Losong, Kuala Terengganu Ogos 2006

Monday, August 10, 2009

PERCAKAPAN TERPENCIL DARI SEORANG

Ingin sekali aku
untuk turut sama menyambut hari jadi sepasang suami isteri
dan mengurangkan satu kerusi kosong
sambil turut mengunyah bulan yang bicara sendiri
dan memaknai salam jujur seniman
lalu selebihnya turut mencicip gizi di meja makan yang sama

Namun dalam keterlampauan kecilnya aku
selamat malam hanya terucap dalam diam
sambil membiarkan derita perkenalan itu
tersimpan dalam kelongsong ingatan.


Oleh: Indah Hairani
Julai 06

MIMPI YANG TERSADAI

Kekasihku
ada mimpi manis
terlakar dalam lenaku
pada malam yang dingin
saat rembulan penuh keemasan
menyelinap masuk melalui jendela kaca
lalu menjamah wajahmu di ribaanku
pipimu ku usap
dengan cinta yang sarat
dan bibirmu kukucup penuh hangat

Sepanjang malam
kita senandungkan
syair rindu yang tertangguh
lewat musim yang tidak ada pertemuan
saat mentari merisik bulan
lenaku pun terusik
dan hangat airmatamu
tertinggal di pipiku

Oleh : Indah Hairani
Julai 2006

Tuesday, August 4, 2009

ABJAD YANG GUGUR

Dia belum sempat
menyarung sepatu
dan menukar baju
daripada kelaring darah
seorang rakan
sambil menelan aroma
hanyir daging
yang tersangkut di jeriji
dentuman itu kedengaran lagi.

Dengan mata polos
dia menyandar
pada dinding yang retak
memeluk erat gambar gurunya
sepanjang menunggu reda hujan peluru.

Dalam jeritan bisu
dia mengutip abjad yang gugur
satu persatu
sambil kembali menyusun
di atas serpihan batu.

( Berita Minggu - 8/1/2008 )
INDAH HAIRANI
Bukit Losong,
Kuala Terengganu

Monday, August 3, 2009

CANTIK KAN?


Assalamualaikum...

Siapa pernah terlihat objek di atas? Cantik kan? Mungkin tidak asing bagi orang yang pernah melihatnya. Ia merupakan deretan telefon awam di lapangan terbang antarabangsa Bung Karno di Jakarta yang saya sempat rakamkan sewaktu kunjungan saya di negara jiran kita itu. Untuk makluman semua, konsep ukiran bukan sahaja terdapat di telefon awam begitu, malah terdapat juga pada tiang-tiang pada sepanjang ruang keluar lapanggan terbang tersebut. Ia menjadi sebahagian daya penarik kepada pelancong yang berkunjung ke negara tersebut. Bayangkan! jika kita juga berbuat sedemikian dengan mengenengahkan kraf sebegitu rupa? Lagi cantik kan? Sebab kita juga kaya dengan kepelbagaian kraf sebegitu rupa. Ia bukan sahaja dapat menjadi daya tarikan, tetapi juga satu cara kita memperlihatkan keindahan kraf tempatan bukan sahaja kepada masyarakat luar malah kepada warga tempatan. Sekurang-kurangnya, ada juga yang berfikir dua kali untuk merosakkan harta awam. ....